Images

Takdir

Berakhir sudah enam tahun sebagai pelajar perubatan dan malam ini Benz menganjurkan parti graduasi untuk meraikan kejayaan ini. Termasuk Karl, dia hadir dan sudahpun berada di luar kediaman rumah istirehat empat tingkat milik keluarga Benz yang terletak hujung di utara. Sebelum masuk, Karl mengeluarkan kembali satu kertas, kertas yang tertulis dialog untuk nanti dia melamar seorang gadis bernama Joanne; pelajar paling terkenal di institusi tempat mereka sama sama belajar. Gugup, cuba menghafal satu persatu dialog yang sudah disusun sejak seminggu lalu. Momen ini perlu sempurna. Walaupun Karl hanya seorang pelajar biasa yang tidak dikenali di universiti tetapi sejak terpandang senyuman Joanne yang dilemparkan terhadapnya sewaktu kertas Internal Medicine peperiksaan tahun akhir tempoh hari, dia sudah jatuh cinta. Bagaikan Joanne memberi hint yang nyata supaya Karl datang menyapanya. 

Sedang Karl sibuk menghafal dialognya, seorang perempuan genit keluar lalu menyapanya.

"Kau akan berucap di dalam nanti?"

"Err...Maafkan aku, aku tidak jelas dengan pertanyaan kau tadi."

"Aku melihat kau seorang diri di sini sedang menghafal sesuatu, adakah kau akan berucap selepas ini?"

"Hahaha. Tidak tidak. kenapa perlu aku berucap, aku bukannya ada orang kenal. Entah mungkin ada di antara mereka yang satu kelas juga tidak mengenali aku"

"Habis, itu untuk apa?" mulut Mika mencebik menunjuk ke arah kertas yang dipegang Karl.

"Mana? Ini?" sambil Karl mengangkat kertas yang mengandungi dialog dialognya. 
"Hahahaha. Takde apa, takde apa pun yang perlu diketahui tentang kertas ini" lalu kertas tadi dimasukkan ke dalam poketnya. 
"Aku tidak pernah nampak kau sebelum ini? Adakah kau juga berada di dalam kelas kami? tanya Karl.

"Aku datang bersama kawan, mungkin dia sekelas dengan kau. Btw nama aku Mika" 

"Mika Mika Mika, nama aku Karl."

Mereka berdua terdiam sebentar. Yang kedengaran bunyi meriah rentak rentak techno Wake me up yang kuat dimainkan dari dalam. 

"Aku suka lagu ini" Karl bersuara untuk memecahkan kesunyian di antara mereka. 
"Kau mahu menari?"

"Hahahaha. kau ajak aku menari? Kenapa aku perlu menari dengan strangers seperti kau?" jawab Mika.

Keadaan kembali sunyi, kali ini lagu Dont you worry child yang berkumandang.

"Bagaimana mahu meluahkan perasaan aku pada seorang perempuan?" tiba tiba Karl berani bertanya.

"Oh jadi pertanyaan kau ada kena mengena dengan kertas yang kau pegang tadi? Hahahaha. Lihat dunia, malam ini akan menjadi saksi seorang lelaki melamar seorang perempuan!" Laung Mika sambil gelak tidak berhenti.

"Aku serius ini."

"Karl, perempuan seperti kami ini sukakan lelaki yang berani. Ya, mungkin sesekali kami menjual mahal cuba berlagak sombong di hadapan lelaki tetapi itu tandanya kami mahu tetapi masih lagi dikuasai malu. Padahal di dalam hati sudah menjerit sesukanya. Kalau di belakang kamu, orang mungkin gelar kami gila kerana berjoget tanpa muzik sambil mengukir senyum sampai ke telinga seorang diri. Lalu kami beri peluang sekali lagi untuk lelaki itu mencuba dan melihat apakah benar lelaki itu betul betul mahukan kami."

"Oh begitu, mengapa mahu disusahkan sehingga begitu sekali?"

"Hahaha. Entahlah Karl mungkin itu sudah jadi hukum dunia. Sifat kami mungkin begitu rupa." 

"Ohhh I see...Do you know what is the strongest force on earth?" Karl cuba membawa perbualan ke satu topik yang lebih dalam.

"Sudah tentu graviti."

"Itu jawapan kamu, tapi bagi aku the strongest force on earth is love. sehingga ia bisa membuat manusia seperti aku tidak keruan. Sesekali aku rasa aku tidak tahu matlamat yang hendak aku kecapi tapi cinta menetapkan aku kembali di dunia dan memberi tujuan dan arah menujunya. Dengan cinta aku rasa lebih kuat, jiwa aku lebih bahagia dikerumuni wajah seorang wanita yang aku cinta sehinggalah aku terlena dalam keindahan kami berdua."

Mata Mika memandang tepat ke arah mata Karl. Di balik anak mata yang keperangan itu, Mika merasakan satu keindahan. Keindahan yang sudah lama di carinya. 

"Karl, kau mahu keluar dari parti ini?"

"Tapi hendak ke mana?"

"Mari, nanti aku tunjukkan ke mana kita akan pergi. Mari. Mari!!!" sambil cepat cepat Mika menarik tangan Karl dan mengenggamnya erat.



Hafeez Darraji





0 comments: